Followers

Friday, August 15, 2008

petikan dari utusan malaysia


SEGAMAT 15 Ogos - Bantahan terhadap kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka pintu kepada pelajar bukan bumiputera menular ke selatan tanah air melibatkan penuntut UiTM Johor kampus Segamat di sini hari ini.

Seramai 3,000 penuntut tersebut berhimpun secara aman diketuai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Segamat, Mohd. Izhairi Ibrahim.


Mereka berarak sambil membawa sepanduk dari hadapan pejabat pentadbiran kampus itu di Dataran Seri Bendahara sejauh dua kilometer sebelum berkumpul di pekarangan masjid kampus bagi menunaikan solat Jumaat.


Menurut Mohd. Izhairi, pihaknya akan menyerahkan memorandum yang ditandatangani oleh penuntut universiti itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tidak lama lagi


"Sebagai penuntut UiTM, kami kesal kerana tindakan Menteri Besar Selangor tersebut seolah-olah cuba merampas hak kaum Melayu. Sekiranya perlu diwujudkan persaingan, kenapa tidak diadakan antara 20 buah universiti yang terdapat di negara ini?


"Kami kesal kerana kenyataan orang terpelajar seperti Abdul Khalid itu bukan sahaja mencerminkan beliau tidak peka dengan maruah bangsanya sendiri, malah tindakannya itu seolah-olah cuba menjahanamkan maruah bangsa Melayu," tegasnya.

Kumpulan penuntut UiTM Segamat itu turut menyanyikan lagu-lagu patriotik sambil membawa sepanduk berbunyi Jangan rampas hak kami, UiTM untuk bumiputera dan Universiti ini tradisi Melayu.

No comments:

AMIREZKA © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute